/* ----------------------------------------------- ----------------------------------------------- */ PGM Tour (Professional Golf of Malaysia): Nafas baru golf Malaysia

Monday, January 10, 2011

Nafas baru golf Malaysia


SETELAH sekian lama sengsara, pemain golf profesional tempatan mula boleh menarik nafas lega dengan pengumuman Jelajah Golf Profesional Malaysia (PGM) yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM2.26 juta.

Jika selama ini para pemain terbabit ibarat kais pagi makan pagi atau sekadar mematuk seorang sedikit apabila ada kejohanan yang kecil-kecil, kini mereka boleh menumpukan masa sepenuhnya sebagai pemain golf profesional.

Jadual kejohanan telah tersusun rapi. Mereka hanya perlu menyiapkan diri untuk bersaing sesama sendiri yang mana ia secara tidak langsung menjadi landasan untuk menyediakan pemain tempatan ke kejohanan bertaraf dunia.

Pengumuman PGM itu juga sekali gus menamatkan isu yang membabitkan para pemain apabila Persatuan Golf Profesional Malaysia (MPGA) boleh dikatakan sudah tidak berfungsi sejak empat tahun lalu.

Malah PGM juga yang kejohanan pertama diadakan di Kelab Golf Impian Disember lalu dan dimenangi oleh Danny Chia boleh dikatakan merupakan program jelajah golf profesional yang pertama di negara ini.

PGM yang dipengerusikan oleh Tun Ahmad Sarji yang tidak pernah bosan menyokong pemain-pemain golf profesional tempatan (melalui siri kejohanan anjuran PNB) pastinya akan membantu kebangkitan sukan golf profesional negara.

Untuk permulaan, sebanyak 16 kejohanan telah disusun dengan menawarkan hadiah keseluruhan RM2.26 
juta.

"Kami mahu melahirkan persekitaran golf yang menarik di Malaysia," kata Ahmad Sarji yang pelantikannya dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

PGM diperbadankan sebagai organisasi yang tidak bermotifkan keuntungan yang mana sumber kewangannya adalah hasil sumbangan sektor swasta.

Malah ini merupakan kerjasama antara kerajaan dan swasta untuk memajukan dan mempromosikan sukan golf di negara ini. Yang paling utama ia untuk memastikan pemain golf profesional tempatan mempunyai medan untuk beraksi dan untuk mencari makan.

Selepas ini, apabila pemain amatur yang bakat mereka digilap oleh Persatuan Golf Malaysia (MGA) terutama melalui program juniornya mahu menjadi profesional, mereka mempunyai tempat untuk mencari makan.

Pada masa ini ramai pemain golf profesional negara yang menganggur. Ramai juga sekadar menjadi pengajar secara sambilan bagi mengisi poket yang kosong sementara menunggu kejohanan.

Selain Ahmad Sarji terdapat empat pengarah dalam PGM yang turut dilantik oleh Perdana Menteri.

Malah PGM turut menjemput pemain profesional veteran, M. Ramayah sebagai ahli lembaga pengarah bagi mewakili golongan profesional.

"Ia diharapkan dapat meningkatkan jumlah pemain profesional tempatan dalam masa dua tahun. Kami juga berharap sekurang-kurangnya 30 pemain bermain secara tetap dalam Jelajah Asia," kata Ahmad Sarji.

Menurutnya, PGM juga akan mempunyai senarai order of merit berdasarkan kepada kalendar kejohanan di samping sedang berunding dengan pihak Jelajah Asia untuk menjadikan PGM sebagai salah satu kelayakan untuk menyertai Jelajah Asia.

Dengan 16 kejohanan kejohanan yang telah disusun, pemain golf profesional tempatan kini tidak mempunyai alasan untuk tidak beraksi cemerlang. Boleh dikatakan setiap bulan ada kejohanan untuk mereka.

Diharapkan, siri jelajah Malaysia ini mampu menjadi pemangkin kepada pemain tempatan untuk mempertingkatkan kualiti bagi bersaing di peringkat lebih tinggi seperti mana yang dicapai oleh pemain-pemain dari Thailand. Filipina dan India.

Dengan diketuai oleh orang berpengalaman seperti Ahmad Sarji dan tidak bermotifkan keuntungan, diharapkan PGM akan menjadi satu siri jelajah yang bukan sahaja dapat melahirkan jaguh golf negara tetapi juga dihormati.

Kehadiran PGM juga selari dengan kedudukan Malaysia yang kini menjadi tuan rumah kepada salah satu pusingan dalam Jelajah PGA melalui CIMB Asia Pasific Classic dan Jelajah LPGA melalui Sime Darby LPGA Malaysia.

Selain, itu Malaysia turut menjadi tuan rumah kepada sekurang-kurangnya tiga lagi kejohanan bertaraf dunia yang menjadi tumpuan nama-nama besar golf Asia dan dunia dengan tawaran hadiah jutaan ringgit.

Dengan adanya siri jelajah tempatan, pemain profesional negara boleh mempersiapkan diri mereka untuk memberi cabaran kepada jaguh-jaguh dari luar.

Dengan itu tidak mustahil kita akan mampu melihat pemain tempatan menjuarai Terbuka Malaysia dan kejohanan berprestij dunia yang lain.

Cuma diharapkan, kelab-kelab golf juga turut memberi kerjasama bagi menjayakan kejohanan ini dan tidak memikirkan keuntungan semata-mata. Jika dilihat kepada senarai kelab yang mengambil bahagian lima daripadanya adalah di bawah naungan syarikat yang sama.

Share Us